Friday, 3 January 2014

Rafa'

12 JULAI 1997
Hari ini Yaya kena pukul lagi. Yaya kena pukul dengan Ajim. Ajim pukul Yaya sebab Yaya tak nak temankan Ajim pergi dapur. Yaya nangis perlahan dalam bilik Yaya. Yaya tak nak Ajim dengar Yaya nangis. Mak tok kata anak sulung macam Yaya tak boleh kuat nangis. Tapi Ajim selalu sepak pipi Yaya…tendang kaki Yaya…tarik rambut Yaya. Yaya dah banyak kali nak cakap dengan ummi dan abi tentang perangai buruk Ajim. Tapi…Yaya kasihan tengok ummi dan abi yang selalu penat pabila mereka pulang ke rumah. Sudahnya Yaya tak cakap pun apa yang terjadi di rumah semasa ketiadaan mereka.
“Hello…ummi… Ajim lapar la… Yaya pun lapar juga… Ummi masak apa?”
“Kenapa telefon ummi? Kan ummi dah kata jangan telefon ummi masa ummi tengah kerja!!! Yaya sapukan kaya pada roti. Macam yang biasa ummi buat. Dah! Jangan telefon ummi lagi!”
“Hmm.. Ok. Hmm ummi…” tiba-tiba panggilan telefon yang Yaya buat sepi tanpa suara ummi. Ummi matikan talian. Yaya nak cakap yang Yaya sayang ummi. Yaya nak cakap I love you. Tapi ummi tak nak dengar. Yaya rasa lapar sangat. Kaya dengan roti tak mungkin boleh mengenyangkan Yaya dan Ajim. Nasib baik Yaya tengok ummi goreng telur hari itu. Jadi, Yaya tak perlu risau fikirkan macam mana nak goreng telur. Yaya dah lama nak makan telur goreng dengan roti. Mesti ummi bangga kalau dia tahu Yaya yang baru berumur lapan tahun dah pandai goreng telur.
Yaya pergi dapur. Ajim ugut Yaya. Kalau Yaya tak masak juga, Ajim nak pecahkan pinggan lagi. Yaya pujuk Ajim. Yaya suruh Ajim tidur dulu. Bila Yaya dah siap masak baru Yaya kejutkan Ajim. Mula-mula Ajim tak nak, tapi bila Yaya bagi Ajim 20 sen, Ajim mula dengar cakap Yaya. Yaya gembira sangat, walaupun pada masa yang sama Yaya sedih sebab Yaya dah lama tak makan bersama dengan ummi dan abi. Yaya rindukan mereka walaupun kami empat beranak tinggal sebumbung, tapi kami cuma berjumpa pada awal pagi dan lewat malam sahaja. Abi keluar ke pejabatnya seawal 8.00 pagi. Pulang pula pada jam yang hampir ke hari yang berikutnya. Kerja setiap hari siang malam tapi harta tak pernah bertambah. Ummi pula sentiasa keluar ke pejabat. Kedua-dua mereka membina empayar perniagaan semasa zaman kegawatan ekonomi. Masa senggang asyik ke hulu ke hilir dengan geng sekepala berjoli sana sini tak ingat dunia. Patutlah harta tak pernah meningkat.

4 FEBRUARI 2000
Hari ini hari pertama Yaya jadi perawan. Yaya malu. Yaya tak tahu apa yang Yaya kena buat. Nasib baik hari ini hari Ahad. Jadi Yaya tak perlu malu kalau perkara yang sama berlaku di sekolah nanti. Yaya tanya ummi apa yang Yaya kena buat. Ummi bagi Yaya satu pek tuala wanita. Ummi kata baca arahan di atas pek dan berpesan supaya tidak membuangnya ke dalam lubang tandas. Usai itu, ummi cepat-cepat tutup pintu. Ummi suruh Yaya keluar daripada biliknya. Ummi kata Yaya busuk. Tapi Yaya baru saja mandi. Tak apalah. Ummi salah cium agaknya. Ajim tidur kat sebelah ummi. Ajim yang bau busuk. Bukan Yaya. Yaya pun bacalah arahan atas pek tersebut dan lakukan seperti yang disuruh ummi.
17 APRIL 2003
Yaya terlupa dah berapa lama Yaya tak datang bulan. Mungkin Yaya stres. Yaya pernah baca satu artikel yang mengatakan bahawa kitaran haid wanita mungkin tidak teratur pada 2 hingga 3 tahun pertama selepas haid pertama datang. Bila Yaya ceritakan pada kawan-kawan Yaya, mereka semua secara tiba-tiba langsung tidak mahu menegur Yaya. Yaya sedih sangat. Kenapa semua orang tak nak kawan lagi dengan Yaya? Yaya tak pernah buat perkara tak baik. Tak apalah. Balik rumah nanti Yaya tanya pada ummi.
Ummi terus sahaja bawa Yaya ke klinik. Sekurang-kurangnya Yaya diberi perhatian juga. Bila nama Yaya disebut oleh pembantu di klinik itu, ummi dapat satu panggilan telefon. Ummi minta Yaya masuk bilik doktor dulu. Ummi kata ummi akan masuk selepas Yaya masuk. Yaya pun mengiakan sahaja. Yaya dah biasa dengan rutin harian ummi. Sibuk memanjang.
Dalam bilik doktor, Yaya cakaplah apa masalah Yaya. Doktor minta Yaya baring atas tilam hitam di hadapan mejanya. Yaya ikut. Kemudian, doktor tekan perut Yaya. Yaya rasa sakit sangat. Doktor minta Yaya pergi ke bilik lain pula. Doktor letakkan gel yang sejuk sangat atas perut Yaya. Lepas itu, doktor buat imbasan pada kawasan rahim Yaya.
Doktor nak cakap dengan ummi. Tapi, ummi tak masuk pun. Ummi kata pada jururawat di situ, cakap dengan Yaya pun tak apa. Yaya pun dengarlah kata doktor. Doktor kata Yaya salah makan ubat. Ubat yang Yaya makan selama ini bukan memulihkan Yaya, tapi boleh menyebabkan Yaya kesukaran untuk mempunyai anak di kemudian hari. Yaya telah mengambil hormon testron yang berlebihan. Ketika itu Yaya mengalami aliran haid yang banyak selama 15 hari berturut-turut. Doktor pada ketika itu telah mengesyorkan Yaya mengambil hormon testron. Tak sangka akhirnya Yaya menjadi mangsa.
Tiba-tiba Yaya teringatkan abi. Yaya sedih sangat sebab apa yang abi cakap memang menjadi kenyataan. Yaya dah kekurangan anugerah tuhan yang paling berharga. Paling berharga kerana perempuan sahaja yang punyai sifat itu. Yaya nak nangis tapi Yaya tahan. Yaya tak nak doktor tahu kesedihan Yaya. Bila Yaya keluar daripada bilik doktor, ummi masih lagi menggenggam telefonnya.

20 MEI 2004
Yaya masuk bilik ummi dan abi. Ummi tengah bersiap untuk ke pejabatnya. Abi masih lagi di dalam kamar mandi. Yaya mengatur langkah ke arah ummi. Ummi asyik tersenyum sahaja apabila dia memandang cermin sambil mencalit gincu berwarna merah di bibirnya. Mesti angin ummi baik pagi ini.
“Ummi nak pergi mana?”
“Pergi kerjalah! Kalau tak kerja macam mana nak makan!”
“Ummi nak balik pukul berapa? Pukul 6 ke pukul 7?”
“Tengoklah macam mana nanti. Kalau ummi tak ada mesyuarat, ummi balik awal sikit.”
Ternyata teori Yaya salah. Ummi sentiasa nak marah-marah. Kenapa? Apa sebab ummi selalu marah? Dan…kenapa Yaya yang selalu kena marah? Yaya baru saja nak cakap yang hari ini hari lahir Yaya. Yaya nak makan di McDonald. Yaya dah lama tak makan kat situ. Semalam Yaya tengok tv. Iklan McDonald tunjukkan yang restoran kegemaran Yaya itu menawarkan hidangan yang baru. Yaya nak sangat makan kat situ. Tapi ummi macam dah lupakan hari istimewa Yaya ni.
Tak apalah. Mungkin ummi lupa. Abi pun terlupa juga. Yaya pernah dengar ummi dan abi bertekak apabila mereka terlupa untuk membeli barangan dapur. Kerana barangan dapur sahaja. Yaya faham. Ummi dan abi sibuk bekerja dan kepenatan sehingga mereka acap kali terlupa akan hal-hal yang remeh-temeh seperti itu.
Tak apalah. Mak tok kata anak sulung mesti banyak beralah. Yaya tahan perasaan teruja Yaya untuk menyambut ulang tahun Yaya yang ke-15. Yaya cuba cari masa untuk kami sekeluarga bersama. Hanya Yaya sahaja yang mencuba. Ajim telah pun ummi dan abi hantarkan ke sekolah swasta. Mudah untuk dijaga bilang mereka. Tinggallah Yaya seorang diri di banglo mewah ini melayan diri Yaya sendiri. Ummi dan abi masing-masing menubuhkan syarikat sendiri.
Syarikat mereka pula memang berbeza bidangnya. Abi yang memang petah membidas hujah membuka firma guaman dan selalu bertemu dengan anak guamnya. Ummi pula merupakan seorang kontraktor wanita yang berkaliber. Oleh itu, masing-masing punya tanggungjawab yang besar dalam membangunkan perusahaan mereka. Dan masing-masing juga terlupa mereka telah mendirikan rumah tangga dan punya dua orang anak yang sedang membesar.

19 NOVEMBER 2004
Keghairahan mereka mencari kertas-kertas berwarna yang punyai nilai material menyebabkan Yaya murung sendiri. Ditambah pula dengan perangai Ajim. Ajim adik Yaya. Ajim budak cerdik, tapi Ajim tergolong dalam pelajar yang lembab. Ajim selalu cakap besar. Ajim perasan yang Ajim pandai kerana abi dan ummi hantar Ajim ke sekolah swasta sedangkan Yaya ke sekolah kerajaan. Ajim tak tahu yang Ajim paling dungu sekali dalam keluarga Yaya. Tapi Yaya tak pernah memperkecil Ajim sebab Yaya sayang Ajim walaupun Ajim selalu buli Yaya. Yaya percaya setiap manusia punyai bintang yang bersinar di sisi lainnya.
Tapi…semalam, semasa Yaya berjalan menuruni tangga, Ajim tolak Yaya. Yaya jatuh tersungkur. Yaya dah tak boleh berdiam diri lagi. Yaya kejar Ajim. Yaya lempang Ajim. Ajim dah melampau. Ajim tak pernah anggap Yaya macam kakak. Ajim selalu perintah Yaya macam Yaya ni kuli dia. Yaya diam sahaja selama ini. Yaya tak pernah mengadu. Tapi hari itu, Yaya memang dah tak tahan dengan perangai Ajim.
Yaya ambil penyapu. Yaya sebat Ajim guna penyapu. Bila Ajim terkulai, baru Yaya berhenti. Yaya rasa puas. Yaya dapat membayar ‘hutang’ Yaya pada Ajim. Ajim mengadu pada ummi dan ummi pula merujukkan kasus Yaya pada abi. Puas Yaya membela diri menyatakan isi hati Yaya tentang betapa egoisnya si Ajim. Akhirnya, kulit Yaya juga yang berbirat menerima sebatan abi. Walhal, Ajim yang patut menerima hukuman itu berbelas tahun dahulu. Ajim sudah 13 tahun. Patut dirotan jika melakukan kesalahan. Tapi…

16 MAC 2006
Yaya kini dah dewasa. Umur Yaya memang muda. Tapi Yaya punyai mental yang matang. Cukup matang sehingga Yaya mampu memikirkan keadaan ummi dan abi dalam masa 10 tahun akan datang. Yaya dah 17 tahun. Yaya nak ambil SPM akhir tahun ini. Yaya terlalu rindukan semua. Ummi, abi dan…Ajim. Abi hantar Yaya ke sekolah berasrama penuh nun jauh di utara selepas Yaya dapat 8A dalam PMR dua tahun lalu. Alasan abi, bila berjauhan, Yaya akan lupakan famili dan fokus pada pelajaran. Tapi, ternyata kata-kata abi bertentangan dengan keadaan Yaya di sini, kini. Yaya ceritakan masalah Yaya pada kawan baik Yaya kat sini, nama dia Kumar.. Yaya yang bagi nama itu padanya walhal nama sebenarnya Helmi. Helmi kawan baik Yaya. Dia pendengar masalah yang setia. Yaya bersyukur sangat sebab Yaya kenal dia.

23 JUN 2006
“Kumar, Yaya dah lama tak balik rumah Yaya. Sebenarnya, setiap kali cuti sekolah, Yaya tak pernah pulang ke Melaka. Yaya pergi ke Johor, rumah mak tok Yaya. Mak tok saja yang sayang Yaya. Yaya tak sangka, ummi, abi dan Ajim tak pernah sekali pun mencari Yaya. Jangankan telefon, SMS, e-mail malah sepucuk surat pun tak pernah dikirimkan ke atas nama Yaya. Semua dah tak sayang Yaya ke?” Yaya tanya Kumar Helmi…lelaki yang pertama menjadi pendengar setia untuk setiap masalah Yaya.
“Mi sayang Yaya. Mungkin semua ahli keluarga Yaya sibuk.” Kumar Helmi membahasakan dirinya Helmi, singkatannya Mi. Kata-katanya punya umpama ada maksud yang lain.
“Kumar sayang Yaya ke? Yaya tak sayang Kumar sangat-sangat macam Yaya sayang ummi, abi, juga Ajim. Kumar tak sedih ke?” Yaya menyoal Kumar.
“Sedih jugalah bila orang yang kita sayangi tak nak menghargai perasaan sayang yang kita curahkan.” Nada Kumar Helmi menurun.
“Macam tu jugalah perasaan Yaya bila ummi, abi dan Ajim tak pernah nak prihatin akan Yaya.”
“Mereka sayangkan Yaya. Cuma mereka tak mahu tunjukkan sahaja. Masakan mereka tidak menyayangi Yaya padahal Yaya adalah pelajar yang paling bijak di sekolah kita??”
“Hmm…betul juga kata Kumar.” Yaya membiarkan sahaja perbualan itu berhenti.Yaya tak nak cakap lagi. Yaya dah memendam perasaan Yaya cukup lama. Yaya dah belajar sehingga menjadi pelajar cemerlang sekolah. Namun, ummi dan abi tetap tak nampak Yaya. Ajim sahaja permata hati. Dan Yaya paling berkecil hati apabila abi selalu menjauhi Yaya.
Abi kata Yaya bukan penghabis segala harta dan nama keturunannya nanti. Yaya sedar. Yaya adalah Sharifah Nadya Thalita Syed Azman Yahya. Yaya bukan Syed Ahmad Azim Syed Azman Yahya. Yaya pun tak ingin harta dan nama keturunan abi. Yaya cuma inginkan kasihan dan simpati abi serta ummi akan Yaya. Yaya juga manusia. Yaya juga ingin dimanjai macam Ajim.



30 NOVEMBER 2006
Yaya dah penat. Yaya dah penat sangat melayari hidup Yaya dengan masalah Yaya yang tak pernah putus meracun hayat Yaya. Kumar Helmi pernah cakap yang setiap perkara yang berlaku ke atas kita pasti ada hikmahnya. Kata-kata Kumar Helmi itu Yaya pegang sebagai kekuatan untuk Yaya terus berjuang. Berjuang dalam mencari kebahagian hidup yang Yaya mimpikan. Setiap hari seusai solat itulah doa Yaya. Tapi Yaya dah perasan sesuatu. Setelah hampir setahun Yaya tidak pulang ke rumah, Yaya nampak abi punya perasaan lain. Ummi juga begitu. Nasib baik Ajim kini boleh berfikir dengan warasnya.
Yaya beranikan diri bertanya pada Ajim. Ajim kata Yaya sudah punyai ummi baru. Ajim gelarkan wanita itu ibu. Ajim kata abi dah insaf. Abi pun cari seorang isteri yang mampu membimbing kami dua beradik.
Mulanya Yaya tak percaya. Yaya marah. Yaya cari abi tapi abi tak ada kerana ke rumah ibu. Yaya pun pergi mencari ummi. Ummi menuduh Yaya punca segalanya. Ummi kata Yaya yang menyebabkan ummi tidak mampu lagi untuk melahirkan zuriat lelaki buat menyambung dinasti keluarga berketurunan Syed milik abi. Yaya?? Habis tu, Ajim tu siapa??
Telefon ummi berdering nyaring. Sekelip mata sahaja air muka ummi yang menyinga berubah bagai orang yang sedang mabuk bercinta. Tersenyum sendiri menatap paparan di skrin telefon bimbitnya. Yaya pantas dihalau keluar dari kamar itu.
Yaya menghayunkan kaki ke kamar Yaya. Yaya menangis semahunya. Yaya geram. Apakah masih wujud lagi diskriminasi jantina dalam negara ini sehingga Yaya disisihkan daripada keluarga Yaya sendiri? Keturunan yang sering diagung-agungkan ini? Kenapa hanya keturunan Syed Azman Yahya sahaja?
Kerana Syed Azman Yahya anak lelaki tunggal, maka Syed Azman Yahya mahu menambah lagi seorang lagi Syed daripada keturunannya? Cukuplah Yaya yang jadi mangsa. Dan Yaya berjanji yang Yaya tak akan sesekali bernikah dengan mana-mana lelaki daripada keturunan Yaya ini.

16 DISEMBER 2006
Cuti sekolah pada hujung tahun ini Yaya habiskan dengan menonton televisyen. Hendak ke rumah mak tok…tak boleh pula kerana mak tok telah pun berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam yang kelima. Hendak bekerja pula Yaya dilarang. Abi malu jika Yaya bekerja. Macam abi tak cukup wang pula buat menanggung Yaya. Abi semacam tak mahu pulang ke sini lagi. Sudah berhari-hari lamanya abi ke rumah ibu. Abi sudah lupakah tanggungjawabnya di sini? Ummi pula asyik hilang sahaja. Ajim sudah pandai melepak. Akhirnya Yaya menyendiri di dalam penjara mewah ini. Yaya menangis dalam hati. Yaya rindukan famili Yaya.
Yaya mematikan langkah dan terus melompat ke atas sofa empuk di ruang tamu. Tangan Yaya pantas mencapai alat kawalan jauh tv dan memicit-micit punat-punat getah yang bernombor. Yaya tengok penceramah kegemarannya sungguh dedikasi menyampaikan motivasi. Tajuk hari ini juga cukup menarik minat Yaya. Ujian ALLAH, Kesabaran dan Hikmahnya.
“Hai orang-orang beriman! Carilah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat! Sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang sabar.
Janganlah kamu katakan mati kepada orang-orang yang terbunuh dijalan ALLAH itu, tetapi mereka itu orang-orang yang hidup
(hidup dalam kebahagiaan di alam lain), sayangnya kamu tidak mengerti.
Dan sesungguhnya Kami akan memberikan ujian dan cubaan yang sedikit buat kamu, seperti ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan hasil tanah.
Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.
Iaitu orang-orang yang apabila ditimpakan padanya bala, diucapnya: Sesungguhnya kami kepunyaan ALLAH, dan kepada-NYa kami akan kembali.
Merekalah orang-orang yang mendapat ampunan, kehormatan dan rahmat dari TUHAN dan merekalah orang-orang yang menerima pimpinan yang benar.”
Surah al-Baqarah (2: 153-157)

Yaya cuba fahami maksud ayat-ayat suci itu.
Tiba-tiba Yaya terdengar telefon ummi menjerit-jerit minta dijawab. Ummi tertinggal telefon bimbitnya di meja sebelum ummi berangkat untuk ke pejabat. Yaya angkat. Ucapan hello mendahului kata. Dan tiba-tiba talian itu terputus. Tertera pada skrin tersebut nama “sayang”. Yaya tengok nombornya pula. Bukan milik abi.
Serta-merta Yaya buang sifat amanah Yaya semata-mata memenuhi kehendak Yaya yang terlalu ingin tahu siapakah “sayang” ummi itu. Yaya pergi ke peti masuk mesej ummi. “Sayang” ummi adalah kekasih ummi. Ummi berselingkuh dengan abi. Kejamnya Sharifah Dzulaika Suzanna Sheikh Mahmod, ummi Yaya sendiri.
Yaya tak mampu menanggung lagi semua kekacauan ini. Yaya tidak pantas terhadap semua kehancuran mimpi-mimpi Yaya selama ini. Betapa berat hukuman-MU kepada Yaya. Ampunilah Yaya. Yaya mengambil keputusan untuk menefon Kumar Helmi. Yaya basahkan perbualan kami dengan titisan air mata yang Yaya kumpul selama ini. Yaya tebalkan muka menepuk air di dulang yang akhirnya terkena ke muka Yaya sendiri. Biarlah Kumar Helmi yang membuat keputusan atas cerita duka Yaya. Yaya dah muak. Yaya dah menahan kesabaran Yaya sehingga Yaya kini sudah 17 tahun. Yaya dah mengorbankan segala demi menutup jutaan rahsia duka keluarga Syed selama ini.
Biarlah semua orang tahu betapa kejamnya keluarga Yaya menyisih Yaya. Betapa materialistik memacu kebahagian yang abi dan ummi cari. Betapa hebatnya kekayaan keluarga Yaya sehingga Yaya ketandusan cinta yang Yaya mimpikan.
Ya!!! Yaya mimpikan sahaja. Yaya tak pernah menjadikan kebahagian Yaya sebagai satu impian. Kerana impian yang tak tercapai pasti perit untuk diterima. Dan Yaya pasti kenyataan yang Yaya tak pernah percaya selama ini. Menyayangi bukan bererti memiliki. Memiliki pula tidak bermakna menyayangi.
Yaya sayangkan famili Yaya tetapi Yaya tak mampu memiliki mereka. Walaupun Yaya memiliki kekayaan setinggi langit yang ketujuh, namun Yaya tak pernah mengejar semua itu.
Yaya ambil keputusan untuk lari dari rumah. Biarlah ummi dan abi mencari penyelesaian sendiri. Menyelesaikan konflik mereka yang tak pernah putus mengunjung. Yaya nak ke rumah Kumar Helmi. Kumar Helmi pada awalnya membantah tindakan Yaya. Kumar Helmi tak mahu ambil risiko. Tapi Yaya yakinkan Kumar Helmi. Lagipun, keluarga Kumar Helmi kenal dengan Yaya. Yaya mencapai bagasi Yaya.
Yaya tuliskan sepucuk surat menuliskan ‘wasiat’ terakhir Yaya sebelum meninggalkan istana duka yang menyimpan 1001 gelodak ini. Yaya ingin lihat sejauh mana permasalahan keluarga Syed Azman Yahya akan pulih setelah Yaya di penghujung dewasa ini mengambil tindakan yang memang akan membuatkan Yaya akhirnya dibuang keluarga.
Biarlah. Yaya redha jika itu berlaku. Lagi pun Yaya memang selalu merasa dibuang keluarga sendiri. Cuma kali ini Yaya inginkan pengesahannya sahaja. Lesen besar yang mengesahkan ikatan kekeluargaan antara Yaya dan keluarga Syed ini.
Yaya juga mengeluarkan semua wang Yaya daripada tabung Yaya. Kemudian Yaya ke bank untuk mengeluarkan simpanan Yaya dan meninggalkan baki yang hanya beberapa belas ringgit sahaja.

17 DISEMBER 2006
Yaya mengucapkan terima kasih yang tak terhitung pada Kumar Helmi kerana telah menyambut Yaya. Bandar Rompin agak asing bagi Yaya. Mujur Kumar Helmi setia menanti Yaya. Sejak itu, Yaya mula membalas perasaan sayang Kumar Helmi. Kumar Helmi memang putera impian Yaya seperti nama yang Yaya berikan padanya, Kumar. Kumar maksudnya putera. Yaya tinggal di rumah Kumar Helmi dan keluarganya. Namun Yaya masih menjaga keperawanan Yaya. Ianya adalah hadiah buat pasangan hidup Yaya hari mendatang.
Biarlah Yaya menyemadikan hati Yaya buat Kumar Helmi yang menyayangi Yaya. Lagipun, ummi sudah pun mempunyai “sayang”, abi akan punya Syed junior lagi. Ajim pula telah mempunyai ibu yang pasti mampu mendidiknya. Jadi apa salahnya Yaya mencari kebahagian Yaya sendiri. Yang penting bukan berdasarkan material.

**********
5 MAC 2008
Sudah setahun berlalu… Semenjak Yaya menghadiri upacara pengkebumian mak tok tujuh bulan yang lalu, sudah banyak panggilan telefon dibuat kepada Ajim. Satu pun tak pernah diangkat. Abi dan ummi pula meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke mahkamah syariah untuk memfailkan penceraian mereka genap 100 hari pemergian mak tok. Dua minggu lalu, Yaya dapat berita ibu telah selamat melahirkan anak lelaki yang abi idamkan, Syed Ahmad Azmi, namun abi telah pun menghadap-NYA sebelum Azmi lahir.
Yaya bertunang dengan Kumar Helmi hari ini. Mohd Shaffiq Helmi adalah nama Kumar yang sebenar. Tiada Megat, Daeng, Putera, Sheikh mahu pun Syed. Langsung tiada apa-apa gelaran. Mungkin terlalu awal. Usia Yaya dan Kumar Helmi baru sahaja mencecah 19 tahun.Tapi mama kata Yaya dan Kumar serasi walaupun tingkah kami bagai langit dan bumi. Lagipun Yaya telah lama duduk serumah dengan keluarga Kumar Helmi. Yaya pernah juga menceritakan masalah zuriat jika Yaya berkahwin dengan Kumar Helmi nanti. Namun mama cuba meyakinkan Yaya bahawa setiap sesuatu kekurangan pasti ada kelebihan yang Yaya tak perasan.
Yaya mendapat kasih sayang yang cukup di sini. Melimpah-ruah. Umpama keluarga Yaya sendiri. Yaya juga tidak menggunakan gelaran Sharifah milik Yaya. Yaya juga memanggil mama dan papa Kumar Helmi seperti ‘adik-beradik’ yang lain. Yaya bekerja sambilan bagi meringankan bebanan mama dan papa bagi menyara Yaya. Memang tiada kekayaan yang membanjiri istana kasih baru Yaya tapi perhatian yang tidak berhenti memantau Yaya membuatkan Yaya menemui kebahagian Yaya. Terima kasih semua!!
Sejurus mengambil keputusan SPM tahun lalu, kami mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran. Yaya dan Kumar Helmi berada di institusi pengajian yang sama. Namun, kami mengambil jurusan yang berbeza. Yaya mengambil bidang perubatan psikologi manakala Kumar dalam bidang undang-undang.
Biarlah kami mencari kebahagiaan kami sendiri dalam usia muda sebelum Yaya dan Kumar Helmi benar-benar mengambil keputusan untuk bahagia bersama. Biarkanlah kami masing-masing puas hidup menyendiri agar kami betul-betul bersedia mengemudi bahtera cinta kami. Mungkin sudah sampai masanya untuk Yaya merasai rafa’ (kebahagiaan) setelah lelah mengharung ombak derita. Memang masih terlalu awal untuk Yaya ungkapkan segalanya. Tak apalah. Biarkan saja. Semuanya telah ditentukan-NYA. Namun, jauh di sudut gelap hati Yaya, Yaya takut akan kehilangan Kumar Helmi seperti mana yang berlaku pada famili Syed…

No comments: