Wednesday, 27 November 2013

Tanpa Nama

Kehadapan ___________,

Satu hari aku terlupa. Pada batasnya perasaan aku suka, perasaan aku cinta. Terkadang pabila jiwa yang pernah aku kongsikan segalanya, yang kini aku telah tinggalkan kembali merentap rasa dalam hati, aku tertoleh. Memandang dengan satu pandangan. Apa yang membuatkan kau cuba mengejar aku? Apa mungkin aku masih diperlukan, mungkin aku harus memberikan sesuatu pertolongan? Atau aku dipinta melunaskan janji-janji akal kecilku ketika itu? Tapi setiap persoalan itu aku jawab dengan satu lagi persoalan, apa yang membuatkan aku berlari jauh meninggalkan kau?

Aku berlari setelah lelah. Penat. Tercungap-cungap menarik nafas setelah satu persatu masalah yang tidak mungkin dapat diurai antara aku dan jiwa itu. Aku perlu jelaskan apa lagi sebenarnya, antara aku dan kamu sebenarnya hanya masalah kita. Tidak ada orang ketiga sebenarnya. Alasan itu aku cipta kerana aku buntu apa cara untuk mematikan hubungan yang memang tiada lagi arah tujuannya. Antara menggunungnya egomu dan angkuhnya aku. Pun, jika perasaan cinta itu masih ada, rasanya telah tenggelam bukan lagi ke dasar hati, tapi dah ke tapak kaki dek sombongnya diri masing-masing. 

Bila ingin nama kau aku bangkitkan, aku rasa sakit. Aku terkadang merasa sakit kerana jiwa yang pernah aku kongsikan separuh hidup ini telah menemukan separuh hidupnya yang lain. Cuma yang aku kesalkan, kenapa perlu menyakitkan hati aku yang tak pernah mengganggu jiwa itu dan separuh hidupnya kini? Aku teruskan larian aku. Melangkah jauh agar tak mampu sedikit pun kau menyentuh aku.

Kehidupan aku di sini, sekarang ini, bukan untuk membalas dendam walau sebesar nucleus, jauh sekali ingin menunjuk-nunjuk yang aku bahagia, tapi aku ingin memberikan paku buah keras kepada jiwa itu. Akulah perempuan yang telah diharamkan untuk hidup bersama kau. Serendah-rendah maruah aku, itulah pertama kali maruah aku diludah dipijak jiwa yang sungguh aku tak sangka akan melakukan itu. Tatkala hancur luluh hati dan berderai-derai air mata aku ketika itu, muncul jiwa lain yang simpati. Ya memang simpati itu pada mulanya. 

Aku memang perempuan yang tiada rasa. Tatkala itu, aku cuma mahu teruskan hidup. Aku cuma mahu menjadi yang terbaik, yang terdekat dengan hatinya. Aku cuma mahu menjadi yang memudahkan dan halal untuknya. Aku menyatakan aku suka, aku suka padanya. Sebagai penguat kata, aku berjanji pada diri sendiri, segala-galanya akan aku baiki. Begitu payah simpati darinya aku cambahkan menjadi rasa sayang, kemudian rasa cinta dan kasih. Setiap hari aku pupuk untuknya, setiap hari aku belajar untuk mencintainya apa adanya. 

Dan kerana itu, aku menghargainya, lebih dari apa yang telah kau lakukan untuk aku. Kerana aku tahu, kehilangan kau dalam hidup aku sebenarnya membuka satu peluang untuk aku belajar mengenai cinta yang sebenarnya. Dan kerana itu, aku mengerti, kau bukan cinta. 

Bayangan rindumu,
______________

No comments: